Thursday, June 14, 2007

Anwar on Altantuya

Just got this in my inbox. Good to read with a C4 by your side.

KENYATAAN MEDIA

14 Jun 2007

Adalah dikhuatiri tanda-tanda perkembangan yang luarbiasa timbul di dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya telah pun timbul pada Mac 9 apabila perbicaraan itu secara tiba-tiba diambil daripada Hakim K.N. Segara dengan alasan penjadualan semula kes-kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan salah satu daripada pihak tertuduh telah memohon untuk perbicaraan awal. Sekiranya benar pun kes ini hendak dibawa ke hadapan, tidak ada alasan kukuh untuk memindahkan kes ini dari Hakim Segara kepada hakim yang lain. Perpindahan kes ini, untuk mematuhi prinsip-prinsip kebebasan kehakiman, seharusnya timbul daripada hakim yang mengadili kes tersebut sendiri yang jelas sekali tidak berlaku di dalam kes ini.

Kini wujud spekulasi meluas bahawa akan ada perkembangan mengejutkan apabila perbicaraan disambung minggu hadapan. Ini termasuklah cadangan bahawa dakwaan terhadap Abdul Razak Baginda dan sekurang-kurangnya salah satu daripada pihak tertuduh akan digugurkan dan kemungkinan hakim perbicaraan akan ditukar sekali lagi – semua tindakan ini untuk menghalang fakta-fakta tertentu dari muncul – fakta-fakta yang mungkin mengaibkan seorang menteri.

Spekulasi sebegini telah menjadi lebih rancak dengan pertukaran pihak pendakwaraya secara tiba-tiba sebagaimana terjadi pada 4 Jun 2007. Penjelasan Peguam Negara bahawa perubahan ini perlu memandangkan beliau mendapat maklumat bahawa Timbalan Pendakwa Raya utama sering bermain badminton dengan Hakim yang mendengari kes ini tidak melibatkan isu-isu pokok yang telah ditimbulkan. Kini telah jelas bahawa sesi badminton ini sudahpun diketahui umum di kalangan peguam dan hakim – maka amatlah tidak munasabah bahawa Peguam Negara tidak mengetahui perkara ini lebih awal lagi.

Lebih penting lagi, mengapakah Ketua Bahagian Sivil, Tun Majid Tun Hamzah yang mempunyai banyak tanggungjawab di sana, mengendalikan kes ini? Mengapakah Peguam Negara mengenepikan keseluruhan Bahagian Jenayah yang diketuai Datuk Yusof Zainal Abidin – adakah wujud konflik dalaman berkaitan kes ini?

Saya menyeru Peguam Negara untuk menjawab isu-isu ini dan menangani spekulasi yang telah timbul.

Juga yang menjadi kekhuatiran kami ialah dakwaan bekas peguambela Zulkifli Nordin yang mewakili Inspektor Azilah (salah satu pihak tertuduh) bahawa beliau mendapat tekanan dari "campurtangan pihak ketiga" untuk menarik diri. Ini tuduhan yang teramat serius dan mestilah disiasat secara serius dan segera oleh Peguam Negara.

Sistem pengadilan Malaysia juga kini sedang diperhati oleh seluruh dunia di dalam kes ini. Peranan polis, Kamar Peguam Negara dan kehakiman akan dipantau secara dekat.

Sebelum ini, saya juga telah menarik perhatian kepada kelemahan yang amat serius di dalam penyiasatan pihak polis. Persoalan yang telah saya timbulkan berkaitan tiadanya siasatan terhadap peranan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak masih belum dijawab. Persoalan mengenai sama ada kes ini ada kaitan dengan kontroversi berkaitan pembelian kapal selam Scorpene dan komisyen yang cukup tinggi bernilai RM530 juta kepada Perimekar Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang mempunyai hubungan dengan Abdul Razak Baginda dan rakan-rakannya juga belum dijawab. Kini, perkembangan terbaru – termasuk perubahan hakim perbicaraan dan penukaran pendakwaraya pada saat-saat akhir – akan mengecewakan lagi harapan orang ramai bahawa perbicaraan ini akan dijalankan secara telus dan adil. Seluruh dunia dan rakyat Malaysia mahukan jawapan sebenar di dalam mahkamah berkenaan bagaimana Altantuya dibunuh, mengapa beliau dibunuh dan siapakah yang bertanggungjawab di dalam mengarahkan pembunuhannya.

ANWAR IBRAHIM


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home